UiTM tuan rumah Kejohanan Catur peringkat antarabangsa

UiTM tuan rumah Kejohanan Catur peringkat antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Buat julung kalinya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi tuan rumah pada tahun ketiga Kejohanan Catur bagi Hari Peringatan Pemimpin Kebangsaan Azerbaijan 2025 yang berlangsung baru-baru ini, di Hotel UiTM Shah Alam.

UiTM dalam kenyataan berkata penganjuran kejohanan itu selari dengan usaha UiTM untuk mencungkil bakat dalam sukan catur, serta memperkukuh hubungan diplomatik serta budaya antara Malaysia dan negara Asia Tengah.

“Kejohanan ini selaras dengan usaha UiTM untuk memperluaskan jaringan antarabangsa melalui platform intelektual seperti sukan catur yang melambangkan strategi, ketepatan dan nilai sejagat,” katanya.

Kejohanan yang dianjurkan bersama Kedutaan Republik Azerbaijan, Persekutuan Catur Malaysia (MCF) dan UiTM Global itu menarik penyertaan seramai 60 peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk pemain dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi dan peserta antarabangsa.

Pertandingan dijalankan secara FIDE Rated dalam kategori Rapid, membabitkan dua divisyen utama iaitu Terbuka dan Wanita, dengan masa kawalan 15 minit serta tambahan 10 saat bagi setiap langkah.

Menurut UiTM, hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM7,500 ditawarkan, termasuk RM1,000 kepada juara kategori Terbuka dan RM800 kepada juara kategori Wanita.

“Selain itu, hadiah turut disediakan untuk kategori bawah 18 tahun, bawah 12 tahun, veteran (50+), peserta orang kelainan upaya (OKU), peserta tidak berstatus (unrated) serta pelajar UiTM terbaik,” tambah kenyataan itu.

UiTM menyifatkan kejohanan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai hab pendidikan dan diplomasi budaya global.

Majlis penutup kejohanan turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov; Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib; Presiden MCF serta wakil kedutaan dari Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Georgia, Turkmenistan dan Türkiye. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN