PETALING JAYA: Notis tuntutan Kerajaan Sarawak terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak terbatal secara automatik selepas deklarasi yang ditandatangani bersama Kerajaan Persekutuan, semalam.
Menjelaskan perkara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pihaknya menyerahkan kepada pasukan perundangan untuk meneliti perkara tersebut.
“Tidak, kami serahkan kepada pihak yang sah (pasukan perundangan Kerajaan Sarawak dan Petronas) untuk meneliti kerana ada prosesnya.
“Jika hendak digantung, mungkin ada penggantungan dan kemudian ditarik balik, tetapi yang itu saya serahkan kepada pihak yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui pemeteraian deklarasi itu, kedua-dua peruntukan akan dihormati dengan dua entiti dalam industri minyak terbabit akan bergerak bersama demi kepentingan bersama.
Jelas Anwar, peranan Petronas tidak tergugat, sebaliknya syarikat minyak dan gas negara itu meneruskan peranannya melalui kerjasama dengan Petros.
“Persefahaman yang kita lakukan ini adalah bagi memastikan pergerakan Petronas diteruskan dan peranan Petros di Sarawak diiktiraf dan kedua-duanya bekerja berganding bahu mengangkat martabat negara melalui industri minyak dan gas di peringkat hiliran, huluan dan beberapa kegiatan alternative energy (tenaga alternatif) yang dibicarakan.
“Sebagaimana turut dicatatkan (dalam deklarasi bersama), hasrat kita bersama adalah menjadikan Sarawak sebagai hab permulaan (industri minyak dan gas) bagi ASEAN.
“Bagi saya, pendekatan itu sangat realistik. Ia akan memberikan kemenangan kepada negara dan keberhasilan serta mengangkat kedudukan ekonomi Sarawak,” katanya.
Tambahnya, daripada segi prinsip, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai kedua-dua akta yang berkait dengan aktiviti minyak dan gas di Sarawak iaitu Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) dan di peringkat Persekutuan melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).
“Perkara ini sebenarnya daripada segi prinsip sudah lama disepakati seperti mana saya dan Premier pernah berunding, sudah ada parameter yang jelas iaitu menerima PDA 1974 dan DGO 2016.
“Maknanya, keadaan terkini menuntut kita menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang lebih matang dan lebih punyai keupayaan, termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang mempunyai potensi besar,” katanya. – UTUSAN