GEORGE TOWN : Bekas Menteri Besar Perak, Tun Ramli Ngah Talib hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan di Dewan Sri Pinang di sini.
Pelantikan Ramli, 84, untuk jawatan itu berkuat kuasa hari ini bagi tempoh empat tahun iaitu sehingga 30 April 2029.
Terdahulu, pada 24 April lalu, Ramli menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Sementara itu, pada majlis angkat sumpah jawatan yang berlangsung hari ini, beliau turut menandatangani surat sumpah dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rozana Ali Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long.
Majlis angkat sumpah itu kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman.
Terdahulu, Ramli meluangkan masa memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Mejar Mohd. Solleh Jamal.
Sebanyak 17 das tembakan turut dilepaskan semasa upacara Kawalan Kehormatan Utama (KKU) menyambut ketibaan Yang Dipertua Negeri oleh Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja
Turut hadir isteri Ramli, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta barisan kepimpinan negeri.
Dalam pada itu, Kon Yeow ketika menyampaikan ucapan tahniah dan taat setia kepada Yang Dipertua Negeri yang baharu berkata, pelantikan Ramli sebagai Ketua Negeri Pulau Pinang yang kesembilan merupakan satu anugerah yang amat besar maknanya buat seluruh rakyat negeri ini.
“Tuan Yang Terutama Tun memiliki rekod perkhidmatan yang amat cemerlang termasuk pernah menerajui Perak sebagai Menteri Besar selama hampir 17 tahun, serta menyumbangkan khidmat bakti di peringkat Persekutuan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya.-UTUSAN