MELAKA: Seorang tukang cuci mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri rantai emas dan tabung syiling, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Syafiq Mohamad Izhar, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri rantai emas milik arwah isteri pengadu dalam kes ini dan sebuah tabung syiling milik lelaki berusia 66 tahun itu tanpa pengetahuannya.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pandan Jaya 1, Balai Panjang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5 petang, 22 April 2025 melibatkan kerugian bernilai RM15,060.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara, denda dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh.
Peguam Umar Zulkarnain merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai tukang cuci dan berpendapatan rendah.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap tertuduh dan 18 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN