Tuisyen sukarela untuk anak yatim saham akhirat Cikgu Ngah

Tuisyen sukarela untuk anak yatim saham akhirat Cikgu Ngah

WALAUPUN sudah bersara, Ngah Bidin mengajar tuisyen secara sukarela di Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung, Marang, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Walaupun sudah pencen enam tahun lalu, seorang bekas pendidik masih setia berbakti mencurahkan ilmu dengan mengajar tuisyen secara sukarela di Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung, di sini pada hujung minggu.

Ngah Bidin, 66, atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Ngah berkata, jiwa sebagai seorang pendidik yang masih menebal dalam diri membuatkannya terpanggil melakukan khidmat bakti sedemikian sekali gus diharapkan mampu menjadi saham akhirat.

Katanya yang merupakan bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan  Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu(JPNT), idea mengajar secara sukarela itu datang secara spontan awal tahun ini.

“Saya berjumpa pengurusan Asrama Anak Yatim Darul Falah untuk menawarkan diri dan syukur semuanya berjalan lancar. Setiap pagi Jumaat saya ke asrama tersebut yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumah.

“Saya mengajar tuisyen percuma bagi subjek matematik tingkatan satu hingga tingkatan tiga melibatkan hampir 50 anak-anak yatim di asrama berkenaan. Kelas diadakan  antara sejam hingga satu jam setengah bermula sekitar pukul 8.45 pagi.

“Bukan sekadar perkongsian ilmu semata-mata, peluang dapat berdampingan dengan anak-anak yatim ini memberi pengalaman serta ketenangan tersendiri bagi diri saya,” katanya yang tinggal di Kampung Rawai, di sini kepada Utusan Malaysia.

Ngah yang juga Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah Marang, beliau turut berkongsi ilmu teori dan praktikal kemahiran asas komunikasi selain ceramah motivasi kepada pelajar serta ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa.

“Sepanjang berkhidmat bermula 1982 sehingga 2019, cuma lapan tahun saya mengajar di sekolah selebihnya bertugas di JPNT. Pengalaman yang saya ada walaupun mungkin tidak seberapa ingin turut dikongsi terutama kepada pelajar serta ibu bapa.

“Saya tidak kisah walaupun perlu korbankan masa, tenaga serta wang ringgit kerana keutamaan sekarang ialah ingin memberikan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat, pembinaan modal insan,” ujarnya,

Katanya, selain mendampingi anak yatim selaras dengan tanggungjawab dipikul selaku Penolong Setiausaha Perkaya Terengganu, Timbalan Pengerusi Asrama Perkaya Marang dan Ahli Jawatankuasa Asrama Anak Yatim Darul Falah, anak-anak istimewa juga diberikan perhatian.

Menurutnya, beliau diberi kepercayaan menggalas jawatan sebagai Setiausaha Kelab Kebajikan Keluarga Anak Istimewa Negeri Terengganu dan Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Rawai.

“Selagi kudrat mengizinkan, saya berazam untuk terus mencurah ilmu berbakti serta menyumbang kepada masyarakat. Semua manusia sebenarnya  adalah pendidik yang boleh memainkan peranan mendidik di peringkat masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN