PETALING JAYA: Satu pasukan siasatan khas perlu ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April lalu.
Gesaan itu dibuat oleh Pengerusi Menghapuskan Kematian dan Dera Dalam Jagaan (EDICT), M. Visvanathan yang menyeru pihak berkuasa untuk menubuhkan satu pasukan siasatan khas yang dipenuhi dengan penyiasat-penyiasat yang profesional, berkaliber dan berintegriti.
Beliau berkata, pasukan berkenaan perlu dianggotai kedua-dua pihak iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM dalam menyiasat dan menyelesaikan kes penculikan membabitkan Pamela Ling dengan kadar segera.
“Kegagalan menyelesaikan kes ini akan menyebabkan nama baik serta reputasi pihak polis serta SPRM tercemar.
“Ini sekali gus akan mengkibatkan kegusaran serius serta mengikis kepercayaan masyarakat umum berkenaan kedua-dua institusi penting ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau dalam pada itu menyatakan rasa terkejut dengan maklum balas Ketua Polis Kuala Lumpur berkenaan laporan mendakwa Pamela telah diculik oleh orang-orang yang dipercayai memakai pakaian anggota polis semasa insiden tersebut.
“Kami amat terkejut dengan maklum balas yang telah diberikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur berkenaan insiden ini yang disiasat di bawah seksyen 365 Kanun Keseksaan.
“Kenyataan Polis Kuala Lumpur yang dilaporkan menyiasat kes ini hampir sebulan adalah amat mendukacitakan dan tidak boleh diterima,” jelasnya.
Beliau berkata, kes ini melibatkan alegasi bahawa pihak polis mungkin terlibat atau bersekongkol dengan kes penculikan ini.
“Justeru kami (EDICT) percaya pihak polis semestinya boleh memberikan komen yang lebih meyakinkan masyarakat berkenaan hala tuju siasatan kes ini.
“Sudah pasti, kita tidak mahu kes ini berkesudahan seperti kes kehilangan Pastor Koh dan Amri Che Mat sebelum ini. Sehingga kini, tiada mana-mana pihak yang terlibat di dalam kehilangan tersebut yang telah dihadapkan ke muka keadilan,”katanya.
Semalam, polis mengesahkan masih mengesan keberadaan wanita berusia 42 tahun yang hilang itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, belum ada petunjuk atau perkembangan keberadaannya.
Siasatan masih berjalan dan seramai 12 orang sudah dirakam percakapan setakat ini.
Dalam pada itu, polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan berhubung kehilangannya. – UTUSAN