Tourism Malaysia saran setiap negeri sediakan produk pelancongan baharu

Tourism Malaysia saran setiap negeri sediakan produk pelancongan baharu

YEOH Soon Hin (tiga dari kiri) dan Wong Hon Wai (empat dari kiri) ketika menghadiri Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Setiap negeri disaran agar membuat persiapan bagi memperkenalkan produk serta pakej pelancongan baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, usaha ini penting bagi memastikan kesediaan menerima kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa secara menyeluruh, sekaligus menjayakan kempen pelancongan berimpak tinggi itu sebagai satu misi nasional.

“Kita mesti beri tumpuan kepada kemajuan infrastruktur, tahap kebersihan dan pembangunan pakej pelancongan baharu, termasuk yang berasaskan minat khas mengikut keunikan negeri masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Bayan Lepas di sini, hari ini.

Terdahulu, Soon Hin hadir merasmikan Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi negeri, Wong Hon Wai.

Sesi tersebut merupakan yang ke-11 dianjurkan pada tahun ini selepas ia dilangsungkan di beberapa negeri lain termasuk Selangor, Sabah, Sarawak, Melaka, Pahang dan Kedah.

Menurut Soon Hin, penganjuran VM2026 juga bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 selain memberikan peluang besar untuk menonjolkan keindahan pelancongan tempatan dan kepimpinan negara dalam membangunkan sektor pelancongan serantau.

Katanya, kejayaan awal telah dicapai menerusi penganjuran ASEAN Tourism Forum 2025 di Johor pada Januari lalu, yang menjadi permulaan bagi mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa melalui lawatan teknikal dan post-tour.

“Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada dua acara pelancongan utama dunia iaitu World Tourism Conference dan World Tourism Day yang dijadualkan berlangsung September ini di Melaka.

“Setakat Februari 2025, kita telah mencatatkan ketibaan seramai 6.7 juta pelawat asing, meningkat 31.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Sasaran kita ialah 45 juta pelancong dengan hasil pelancongan sebanyak RM270 bilion,” katanya.

Tambah Soon Hin, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi pelaksanaan kempen termasuk pemasaran, promosi dan penganjuran acara utama, malah, tambahan RM130 juta turut diperuntukkan sebagai geran sokongan kepada industri.

“Kita menjalin kerjasama bersama Kementerian Pengangkutan dan syarikat penerbangan bagi membuka laluan baharu serta menambah kapasiti tempat duduk.

“Justeru, semua penggiat industri di Pulau Pinang diharap agar mengambil peluang untuk memohon geran yang disediakan ini bagi merancakkan promosi pelancongan dan memberi sokongan penuh terhadap kejayaan VM2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya