TM hargai kejayaan polis tumpaskan sindiket curi kabel - Utusan Malaysia

TM hargai kejayaan polis tumpaskan sindiket curi kabel

PEGAWAI polis yang menerima sijil penghargaan TM atas kejayaan menyelesaikan kes curi kabel di Daerah Larut Matang di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seramai sembilan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menerima sijil penghargaan daripada Telekom Malaysia (TM) atas kejayaan menyelesaikan 37 kes kecurian kabel di Daerah Larut Matang yang melibatkan kerugian RM580,000 sejak tahun lalu.

Pengurus Keselamatan TM Perak, Rosidah Aripin berkata, TM turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 bagi setiap kes yang berjaya diselesaikan sebagai tanda penghargaan kepada pihak berkuasa dan orang awam yang membantu membanteras jenayah kecurian kabel.

Menurutnya, kes kecurian kabel TM memberi impak besar kepada perkhidmatan syarikat tersebut.

“Sumbangan ini adalah sebagai pengiktirafan kepada usaha mereka dalam membantu mencegah kecurian kabel yang menjejaskan perkhidmatan kami.

“Penilaian teliti akan dilakukan terhadap setiap permohonan termasuk dokumentasi lengkap berkaitan tangkapan dan pertuduhan sebelum sebarang sumbangan disalurkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan IPD Taiping di sini hari ini.

Menurut Rosidah, inisiatif itu akan diteruskan secara berperingkat dari semasa ke semasa bergantung kepada kes yang berjaya diselesaikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata, kejayaan besar yang dicapai JSJ Taiping adalah hasil siasatan rapi yang membawa kepada penahanan lapan individu warga tempatan yang dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket kecurian kabel TM di sekitar daerah Larut Matang.

Menurutnya, sebanyak 37 kes berjaya diselesaikan hasil siasatan dan operasi berterusan sejak tahun lalu, melibatkan nilai kerugian kira-kira RM580,000.

“Sumbangan dan penghargaan daripada pihak TM ini menambahkan semangat kepada warga IPD untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN