Tingkat produktiviti pertanian melalui teknologi digital dan AI 

Tingkat produktiviti pertanian melalui teknologi digital dan AI 

asean
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memfokuskan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkatkan produktiviti hasil pertanian negara.

Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani KPKM, Azwa Affendi Bakhtiar berkata, ia merupakan usaha kerajaan menangani cabaran isu keterjaminan makanan dan kebergantungan kepada import.

“Cabaran yang dihadapi dalam isu keterjaminan makanan ini termasuk kebergantungan kepada import dan kos import sangat tinggi serta perubahan iklim seperti banjir dan sebagainya turut mempengaruhi hasil pertanian kita.

 “Kita di KPKM menjalankan segala usaha untuk mencapai objektif itu antaranya dengan menggunakan inovasi melalui teknologi pertanian untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan kebergantungan kepada pekerja asing sekali gus dapat meningkatkan hasil dalam negara,” katanya ketika ditemui di reruai pameran dan jualan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini.

KPKM juga bekerjasama dengan rakan strategik seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan syarikat Aerodyne bagi memanfaatkan teknologi terkini yang menggunakan elemen digitalisasi termasuk AI dalam aktiviti tiga sub sektor utama iaitu penternakan, pertanian dan perikanan. 

“Kita mahu memastikan digitalisasi membantu meningkatkan produktiviti, terutama bagaimana teknologi dapat mengenal pasti sumber pertanian dan penternakan yang mampu diketengahkan.

“Kita juga ada menghasilkan hasil pertanian berasaskan tanaman atau buah-buahan tempatan dengan tujuan eksport,” katanya.

KPKM melalui agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan turut mempamerkan kaedah teknologi mampan yang digunakan dalam sektor pertanian negara.

Katanya, sesuai dengan tema ASEAN Keterangkuman dan Kemampanan, pihaknya mempamerkan segala usaha kementerian menggunakan teknologi mampan dalam aktiviti pertanian.

“Contohnya daripada segi pembangunan dan penyelidikan (R&D), Mardi menghasilkan varieti bawang dan nanas MS16 dan beberapa produk lain yang boleh kita ketengahkan,” katanya.

Reruai dan jualan sempena Sidang Kemuncak ASEAN dibuka bermula 23 hingga 25 Mei kepada orang awam manakala kepada delegasi ASEAN bermula 26 hingga 27 Mei yang diadakan di Hall 2, Aras G, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN