PETALING JAYA: “Tolong buat malam kedua.”
Demikian luahan peminat selepas kumpulan Inteam mengumumkan tiket konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun habis terjual dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka kepada peminat.
Pengumuman tersebut, yang dibuat menerusi Instagram rasmi kumpulan itu, mengundang rasa kecewa sebilangan besar peminat yang tidak berkesempatan untuk membuat pembelian secara dalam talian.
“Tolonglah buat malam kedua. Saya ini peminat Inteam, dari kecil mak saya beli album Inteam, sejak tahun 2004.
“Saya selalu dengar (lagu Inteam) dalam perjalanan ke sekolah. Saya membesar dengan lagu-lagu Inteam,” luah peminat di Instagram.
Inteam, pada dua hari lepas, secara rasmi mengumumkan bakal menggegarkan Zepp KL menerusi konsert tersebut yang dilaksanakan bersempena 25 tahun penubuhan kumpulan itu dalam dunia seni tempatan.
Tiket konsert tersebut yang habis terjual dalam masa terlalu singkat mengakibatkan ramai yang mendesak agar kumpulan itu menambah satu lagi malam untuk peminat yang tidak berkesempatan membuat pembelian (tiket).
“Kalau buat malam kedua, tolong tambah baik laman web, tetapkan tempoh untuk tempah dalam beberapa minit sahaja.
“Tadi, lebih satu jam pembeli buat pembelian sehingga yang betul-betul nak (tiket), tak dapat membuat pembelian. Pertimbangkan ini sebagai cadangan ya,” tulis seorang lagi peminat di laman komen Instagram.
Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun bakal diadakan pada 27 September ini, bermula lapan malam di Zepp Kuala Lumpur. – UTUSAN