KUALA TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal jenis RX-Z di Kilometer 430, Lebuhraya Pantai Timur 2, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 8.48 pagi ketika ketiga-tiga buah motosikal itu dari arah Kelantan menghala ke Kuantan, Pahang.Katanya, mangsa, Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, dari Kubang Kerian, Kelantan yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, katanya, dua rakannya, Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26, dari Kesedar Jeram Tekoh, Kelantan dan Muhammad Arif Che Mahisan 29, dari Bunut Busu, Pas Mas, Kelantan yang cedera di kepala dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang ketiga-tiga mangsa itu berlanggar antara mereka sehingga terjatuh dan terseret di atas jalan raya. Kemudian motosikal ditunggang Mohamad Faizal Adam tercampak ke dalam longkang konkrit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, ketiga-ketiga penunggang motosikal itu dalam perjalanan ke program RX-Z Fighter 2025 di Kuantan, Pahang. – UTUSAN