PETALING JAYA: Tiga rumah di Pintasan Raja Muda Musa 4, Kampung Bharu dekat sini musnah terbakar dalam kejadian pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 9.39 pagi dan mengarahkan jentera ke lokasi kejadian.
Beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa bersama bantuan daripada BBP Sentul dan BBP Jalan Hang Tuah dengan kekuatan seramai 24 orang anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi Kanan, Mohamad Riduan Akhyar berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah separa kekal.
“Kebakaran tersebut menyebabkan dua unit kediaman musnah sepenuhnya dan satu lagi kediaman musnah sebanyak 40 peratus manakala tiga motosikal turut terbakar .
“Kebakaran telah berjaya dikawal pada pukul 10.13 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba.- UTUSAN