SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu tiga projek di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di negeri ini supaya dapat dilaksanakan dengan segera bagi memenuhi keperluan belia dan komuniti setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketiga-tiga projek tersebut melibatkan pembinaan Institut Belia Negara (IBN) di Port Dickson, Kompleks Sukan Rembau, serta Kompleks Sukan Gemas.
Menurut beliau, berdasarkan laporan, perkembangan Kompleks Sukan Rembau kini sudah hampir siap dengan hanya 10 peratus kerja berbaki melibatkan kerja-kerja elektrik..
“Bagi projek Kompleks Sukan Gemas pula, ia berdepan dengan isu berkaitan kontraktor dan kami telah meminta KBS melihat perkara tersebut, manakala projek di Port Dickson berjalan agak perlahan, walaupun telah mencapai 80 peratus kemajuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah diarah untuk meneliti dan merangka langkah-langkah keselamatan bersesuaian bagi mengurangkan risiko kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height, Senawang.
Arahan tersebut dibuat susulan dua kejadian kemalangan maut yang berlaku di lokasi tersebut baru-baru ini.
“Pihak yang terlibat dalam konsesi jalan juga disarankan untuk mencari langkah bagi memperbaiki mutu keselamatan yang lebih baik.
“Antara cadangan yang dikemukakan adalah dengan menilai semula waktu operasi dan sistem lampu isyarat di persimpangan tersebut yang mungkin perlu disesuaikan untuk memastikan aliran trafik yang lebih lancar dan selamat.
“Pada masa sama, cadangan lain seperti contohnya sama ada perlu ada bonggol jalan atau pemutus kelajuan (speed breaker) untuk mengurangkan kelajuan yang berbahaya,” katanya.
Menteri Besar berkata, segala keputusan bergantung kepada pertimbangan pihak JKR dan MBS untuk menentukan langkah yang paling sesuai.
“Mereka perlu menilai kesesuaian dan pada masa yang sama memastikan keselamatan bukan sahaja di persimpangan Taman Matahari Heights termasuklah juga di sepanjang laluan lurus tersebut,” katanya. – UTUSAN