Tiga pemain kebangsaan perkuat Melaka Titans

Tiga pemain kebangsaan perkuat Melaka Titans

AKRAMUDDIN Abdul Aziz menyerahkan kontrak kepada pemain Melaka Titans di Balai Raya Baruh Alai, Telok Mas, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga pemain kebangsaan menjadi sandaran Melaka Titans untuk kembali menjuarai Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) yang akan diadakan di Stadium Tertutup Sukpa Kuantan, Pahang dari 28 Mei hingga 1 Jun ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, tiga pemain yang ditambat pihaknya terdiri daripada tekong, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi; perejam, Mohamad Azlan Alias dan pengumpan, Zaim Razali.

Katanya, kehadiran mereka mampu menebus kekecewaan Melaka Titans yang sekadar menduduki tempat keempat dalam musim lalu, walaupun Melaka menjadi tuan rumah.

“Kita tidak mahu kecewa lagi musim ini kerana kehadiran tiga tonggak ini mampu memastikan sasaran muncul juara divisyen satu menjadi kenyataan dan sekali gus melayakan diri ke saingan Liga Premier.

“Saya tidak sangsi dengan reputasi Mohammad Syahir dan Mohamad Azlan yang akan membawa cabaran negara di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur hujung minggu ini manakala bekas pemain kebangsaan, Zaim pula masih mempunyai sentuhannya,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak tiga pemain itu di Balai Raya Baruh Alai di sini, semalam.

Akramuddin berkata, kontrak yang ditandatangani ketiga-tiga pemain itu adalah bagi mewakili Melaka Titans sehingga Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali, Disember ini.

Tanpa memberitahu jumlah bayaran, katanya, elaun antara RM2,000 hingga RM3,000 akan mula dibayar bermula Jun ini.

Musim lalu, Melaka Titans menyandarkan gandingan Na Nongkhai (tekong), Rizal Maamor (apit kiri) dan Kamarulzaman Hamir Akbar (apit kanan), tetapi sekadar menduduki tempat keempat selepas tunduk kepada Perlis Vipers 1-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Tahun ini Melaka Titans diletakkan bersaing bersama Bomba Fighters, KPT-Masum Knights, Perlis Vipers, Sabah Mountaineers, PSM Mavericks, Pahang Mammoth, Penjara Enforcers dan Kedah Eagles.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya