KUALA LUMPUR: Tiga pelabur tampil membuat laporan polis selepas kerugian lebih RM1.15 juta dipercayai akibat ditipu skim pelaburan yang disyaki tidak wujud.
Seorang mangsa, Azmi, 55, dari Johor, melabur keseluruhan wang persaraannya selepas diyakinkan skim itu patuh Syariah dan menawarkan dividen tinggi melalui taklimat serta dokumen oleh syarikat terlibat.
“Saya bermula pada 2022. Selepas beberapa bayaran awal, semua bayaran terhenti sejak 2023. Sekarang tiada hasil langsung. Saya rasa ditipu,” katanya dalam satu sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) d sini, hari ini.
Seorang wanita yang enggan dikenali turut mengalami kerugian sebanyak RM100,000 selepas melabur hasil simpanannya dengan arwah suaminya dan dia hanya mahu wangnya dikembalikan selepas projek dijanjikan tidak kelihatan.
“Saya labur semua simpanan dengan harapan bantu kewangan keluarga dan anak-anak saya. Tapi sekarang saya tidak tahu siapa perlu dipertanggungjawabkan,” katanya dengan nada sedih.
Seorang lagi mangsa, Nur Maya, graduan muda dari Kuala Lumpur, turut mengalami kerugian RM50,000 yang merupakan wang peninggalan arwah ayahnya.
“Saya cuma nak tahu ke mana duit kami dibawa. Dividen tidak dapat, janji-janji manis seperti projek pembinaan pun tidak ada. Kalau saya ini kaya tidak mengapa tapi, saya ini baru hendak mulakan hidup,” katanya.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim memaklumkan, pihaknya menerima 186 aduan membabitkan dua syarikat itu dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM60.7 juta sejak dua tahun lalu.
Katanya, syarikat terbabit menawarkan pelaburan itu kepada orang awam melalui memorandum maklumat, tanpa sebarang kelulusan prospektus daripada Suruhanjaya Sekuriti seperti ditetapkan undang-undang.
“Pelabur pula bukan individu berpengalaman atau ‘sophisticated clients’ yang dibenarkan membeli instrumen sebegini,” jelas beliau.
Beliau berkata, tindakan ini dipercayai melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan siasatan harus dilakukan di bawah Seksyen 420, Seksyen 403 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan, penyelewengan dan pecah amanah.
Beliau berkata, MHO menyeru Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti menyemak semula operasi dan lesen syarikat terbabit yang dipercayai menggunakan kaedah manipulasi pelaburan untuk menarik pelabur.
Mereka menegaskan semua ejen serta perantara, termasuk wakil yang mendakwa diri sebagai mangsa, wajib memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk meneliti aliran keluar masuk dana. – UTUSAN