Tiga lelaki mengaku bersalah pukul vokalis kumpulan skinhead

Tiga lelaki mengaku bersalah pukul vokalis kumpulan skinhead

SAMSUL Muarif M. Padal (baju biru), Mozlani Tukimon (baju merah) dan Muhammad Ahnaf Ab. Rahman (baju hitam) didakwa atas tuduhan memukul secara beramai-ramai seorang vokalis kumpulan muzik skinhead di Mahkamah Majistret Johor Bahru.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki mengaku bersalah atas tuduhan memukul secara beramai-ramai seorang vokalis kumpulan muzik skinhead di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Samsul Muarif M. Padal, 36, Mozlani Tukimon, 35, dan Muhammad Ahnaf Ab. Rahman, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nabilah Nizam.

Bagaimanapun, mahkamah menolak pengakuan bersalah tersebut kerana Mozlani dan Muhammad Ahnaf tidak mengakui fakta kes yang dibaca, iaitu mereka menggunakan tong sampah aluminium sebagai senjata.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiganya secara bersama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 23 tahun dengan menggunakan tong sampah aluminium yang dijadikan sebagai senjata untuk menyerang dan mungkin menyebabkan kematian di hadapan sebuah pusat gimnasium di City Plaza, Jalan Wadi Hana di sini pada pukul 10.30 malam, 10 Mei lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda dan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM10,000, namun peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Poh Gek yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan.

“Samsul Muarif tidak mempunyai pendapatan tetap dan masih menanggung dua orang tua yang sudah uzur manakala Mozlani hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

“Muhammad Ahnaf pula sudah bercerai dan mempunyai seorang anak. Dia membuat kerja-kerja freelance dengan gaji RM2,000 sebulan,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga mereka adalah pesalah kali pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan  menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Minggu lalu, tular dua rakaman video masing-masing berdurasi satu minit memaparkan sekumpulan lelaki bertindak menahan, mengheret serta memukul seorang lelaki kerana mangsa tidak mencium tangan salah seorang daripada lelaki terbabit ketika bersalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN