PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki termasuk bekas suami teman wanita mangsa dipercayai terlibat dalam kes tetak seorang lelaki tempatan dipercayai akibat cemburu di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan, Puchong di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, semua suspek ditahan pada 3 petang semalam oleh sepasukan polis di Jalan USJ 9.
Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiganya memiliki rekod jenayah lampau selain mengaku terbabit dengan kes berkenaan.
“Semua suspek ditahan dan permohonan reman akan dipohon diMahkamah Shah Alam esok bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang memaklumkan teman lelakinya dipukul dan ditetak pada pada 2.15 pagi.
Mangsa berusia 47 tahun itu disyaki dipukul dan ditetak di kepala serta badan oleh bekas suami wanita terbabit bersama dua lelaki tempatan lain di rumah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN