KOTA TINGGI: Tiga beranak nekad meredah api untuk menyelamatkan diri apabila rumah mereka di Jalan Surian 7, Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Faridah Mohamed, 51, memberitahu, api yang dipercayai berpunca dari kereta Perodua Kancil yang diletakkan di hadapan rumah sewa mereka itu hampir meragut nyawa keluarganya dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Saya hidup bau hangit, matikan kipas dan barang elektrik lain tetapi bau hangit tetap ada dan kira-kira pukul 6 saya mulai kejut anak dan ibu sebab bau hangit semakin kuat. Apabila buka pintu hadapan, terus nampak kepulan asap dari kereta Perodua Kancil dan awalnya mahu lepaskan asap tersebut lalu buka pintu belakang kereta, tapi tiba-tiba api terus menyambar.
“Ketika itu saya cuba ambil kain basah dan padam api, namun tidak berjaya. Cuba untuk gunakan paip air tapi bimbang api semakin marak, saya masuk ke rumah semula tetapi api semakin marak dan nekad bawa anak dan ibu redah api untuk keluar, jika tidak kami akan terperangkap,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Faridah yang menetap di rumah sewa itu sejak bercerai bersyukur kerana anak dan ibunya terselamat meskipun terpaksa meredah api demi menyelamatkan diri.
Kereta Perodua Kancil miliknya itu merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki dengan menjual sate selepas bersara dan mengalami kerugian kira-kira RM150,000 akibat kebakaran itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri memaklumkan, dua buah rumah terjejas dalam kejadian tersebut yang turut melibatkan seorang lagi mangsa, Muhamad Khairul Anwar Ismail, 36.
“Pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setuju untuk membantu menanggung sewaan rumah sementara buat mangsa. Selain itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menyampaikan bantuan lanjut,” katanya.
Sumbangan turut disalurkan oleh Yayasan Makmur Pengerang dan Pusat Khidmat Parlimen Pengerang sebagai sokongan moral dan kewangan buat mangsa. – UTUSAN