TELUK INTAN: Tiga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang mengalami kecederaan dalam nahas di Jalan Chikus – Sungai Lampam di sini semalam dalam keadaan kritikal dan masih tidak sedarkan diri di Hospital Teluk Intan di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga anggota itu ialah Koperal Haslizal Mohd. Ali, 44, Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd. Izwan Ishak berumur 39 tahun.
Katanya, empat lagi anggota yang cedera dalam keadaan sedar dan stabil di hospital itu ialah Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin dan Sarjan Mohd. Parih Ali yang berumur 44 tahun.
“Ketika ini, ketiga-tiga pegawai masih kritikal dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Pihak polis bersama wakil kebajikan sudah melawat mereka dan keluarga hari ini bagi memberikan sokongan moral,” katanya di sini hari ini.
Semalam, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu semasa perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.
Kemalangan tersebut mengakibatkan sembilan anggota FRU maut. – UTUSAN