Tanggal 16 Mei setiap tahun kita menyambut Hari Guru.
Tujuannya adalah supaya kita semua menghargai segala usaha dan pengorbanan guru dalam mendidik kita dari alam kanak-kanak sehingga remaja.
Ia juga disambut sebagai tanda penghormatan kita semua kepada jasa pendidik yang telah membentuk generasi Malaysia.
Tahun ini, tema sambutan Hari Guru ialah “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, selaras dengan aspirasi negara dalam melahirkan sistem pendidikan yang progresif dan inklusif.
Sambutan Hari Guru bukan sekadar acara tahunan, tetapi ia membawa nilai sejarah yang mendalam.
Tarikh ini dipilih sempena pembentangan Laporan Razak pada 16 Mei 1956 yang menjadi asas kepada sistem pendidikan negara sehingga ke hari ini.
Selalunya sambutan Hari Guru ini diadakan secara sederhana di dalam sekolah dengan majlis ringkas yang dianjurkan oleh pihak pengurusan sekolah seperti upacara nyanyian oleh para guru dan pelajar, acara membaca sajak, syair dan pantun, pertandingan debat atau perbahasan, jualan gerai dan lain-lain lagi. Selalunya juga Hari Guru ini disambut dengan menzahirkan ucapan selamat Hari Guru pada semua guru dalam kalangan pelajar, namun semenjak kebelakangan ini terdapat trend baharu dalam kalangan pelajar yang dilihat berlumba-lumba untuk memberi hadiah pada guru mereka.
Pemberian sebarang jenis hadiah seharusnya dielakkan sepenuhnya bagi mengelakkan tanggapan negatif terhadap pemberian hadiah yang terlibat serta terhadap pelajar dan guru berkenaan. Tidak salah untuk seseorang pelajar menghargai segala usaha dan pengorbanan guru dengan memberi hadiah, tetapi ia harus dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan sebarang syak wasangka daripada pelbagai pihak.
Perlu diingatkan seseorang yang masih kekal dengan status pelajar dan status guru memiliki kepentingan sesama mereka dalam proses pembelajaran dan penentuan markah peperiksaan. Sekiranya hadiah yang diberikan oleh pelajar itu dibalas dengan layan istimewa atau markah tinggi daripada pihak guru ia boleh dikategorikan dalam salah laku jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini dan tanggapan negatif daripada mana-mana pihak, adalah lebih baik sekiranya tiada pemberian hadiah daripada pelajar kepada guru mereka.
Profesor Madya,Dr. Muzaffar Syah Mallow, Fakulti SyariahUndang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)