IPOH: MCA tidak akan dibubarkan semata-mata untuk menyertai DAP seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, MCA dan DAP jauh berbeza bagai minyak dan air kerana MCA merupakan parti moderat yang mengamalkan kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian.
Katanya, MCA bukanlah parti ekstrem yang tergamak menggunakan sentimen perkauman semata-mata mahu meraih sokongan.
“Zhemin dari DAP tidak layak untuk komen tentang Barisan Nasional (BN) kerana DAP bukan parti komponen BN.
“Mana mungkin MCA sertai DAP, bagai minyak dan air. MCA adalah parti yang berjuang bersama UMNO menuntut kemerdekaan negara dan semangat BN yang patriotik kepada negara masih didukung sehingga kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN mengulas kenyataan Zhemin bahawa MCA patut menyerahkan dua kerusi majoriti Melayu kepada UMNO dan dibubarkan untuk menyertai DAP.
Zhemin berkata demikian ketika mengulas kenyataan dibuat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan UMNO dibubarkan dan menyertai Bersatu.
Zhemin berkata, cadangan Muhyiddin itu sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA kerana parti itu hanya tinggal dua kerusi Parlimen dan kedua-duanya terletak di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Mengenai kenyataan Zhemin bahawa MCA tidak lagi mewakili masyarakat Cina, Choo Seong mencabar Zhemin mengenai janji DAP berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sama ada ia sudah dilaksanakan atau sebaliknya.
“Juga setelah lebih dua tahun menjadi kerajaan, adakah janji untuk pajakan tanah 999 tahun sudah ditunaikan atau tidak,” katanya. – UTUSAN