SERI KEMBANGAN: Perceraian lalu tidak membuatkan pelakon, Farid Kamil, menutup pintu hati untuk mendapatkan cinta yang baharu.
Farid atau Farid Kamil Zahari, 44, bagaimanapun hanya memberi fokus kepada diri dan melakukan ibadah tanpa terburu-buru mencari siapakah wanita yang mahu mengisi ruang hati.
“Alhamdulillah saya mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri sekarang, tidak rasa sunyi. Saya dapat fokus kepada apa yang penting dalam kehidupan.
“Saya bersyukur dengan apa saja takdir tuhan buat saya, untuk kata terbuka hati atau tidak, saya tidak pernah menutup pintu hati tetapi saya lebih menjurus kepada ingin melebihkan kerja ibadah.
“Jodoh maut di tangan Tuhan, saya cuma berserah kepada Allah menentukan di mana hala tuju saya untuk memenuhkan hati dan perasaan saya,” katanya.
Farid ditemui Utusan Malaysia di majlis D’Ayu Pictures Gathering, semalam.
Tambah pelakon Lagenda Budak Setan itu, jika sudah tertulis jodohnya untuk beristeri lagi, dia hanya mencari seorang wanita yang boleh memahami dirinya.
“Apa yang penting dia perlulah seorang yang boleh memahami saya dengan seadanya. Artis ataupun tidak, saya serahkan kepada jodoh.
“Kalau boleh wanita itu biarlah boleh menjadi menjadi pemangkin semangat untuk saya,” katanya.
Terdahulu, Farid sekali lagi bercerai dengan pelakon, Diana Danielle, 33, pada Mac lalu selepas padangan itu berpisah kali pertama menerusi Google Meet pada 10 Ogos 2023.
Farid sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon kacukan Diana Danielle, 33, pada 3 November 2012. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10. -UTUSAN