LANGKAWI: Kementerian Pertahanan tidak mengabaikan kediaman penduduk di sini yang mengalami kerosakan disebabkan sesi latihan pertunjukan udara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan mengkaji aduan penduduk termasuk kerosakan kediaman mereka.
“Kita akan tengok, Insya-Allah kita tidak akan abaikan soal itu. Kita akan kaji mengapa (kediaman penduduk rosak).
“Ada masa-masanya memang ada pertunjukan dan mungkin akan ada kesan-kesan,” katanya semasa sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan LIMA’25 di Resort World Langkawi (RSL), di sini hari ini..
Sebelum ini, media melaporkan, sebanyak lima buah rumah mengalami kerosakan dipercayai akibat gegaran berpunca daripada latihan pertunjukan udara LIMA’25.
Tinjauan di Kampung Padang Wahid di sini mendapati berlaku kerosakan pada tingkap dan siling rumah.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, antara matlamat lain penganjuran LIMA’25 adalah bagi memastikan terdapat perpindahan teknologi antara syarikat tempatan dan luar negara demi kepentingan negara.
“Daripada situ, ia akan membolehkan kita untuk membawa dan memberi tumpuan kepada usaha-usaha membangunkan industri tempatan kita.
“LIMA’25 bukanlah semata-mata tentang pasaran dan menonjolkan produk tetapi untuk membuka ruang bagi pemain-pemain industri tempatan membina kerjasama serta kolaborasi, seterusnya memikirkan di mana dan bagaimana kita boleh laksanakan untuk negara sendiri,” jelasnya. – UTUSAN