Tiada polisi baharu wajibkan klinik swasta papar bil terperinci - KKM

Tiada polisi baharu wajibkan klinik swasta papar bil terperinci – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tiada perubahan dasar atau pengumuman polisi baharu yang mewajibkan klinik swasta mengeluarkan bil terperinci kepada pesakit.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, bil terperinci hanya perlu dikeluarkan jika diminta oleh pesakit (mandatory upon request) dan tidak boleh dikenakan caj tambahan.

Katanya, penyediaan bil terperinci adalah hak pesakit seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006. 

Langkah ini bertujuan meningkatkan kefahaman pesakit terhadap butiran caj yang dikenakan termasuk rawatan, perkhidmatan, dan ubat-ubatan yang diterima.

Tambah kenyataan itu, kerjasama semua pihak termasuk pengamal perubatan swasta amat penting bagi memperkasa sistem kesihatan negara dan menjamin perlindungan hak kedua-dua pihak.

“Ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk menegakkan prinsip keadilan dalam sistem kesihatan, memastikan keseimbangan antara hak pesakit dan tanggungjawab penyedia perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini, KKM bersiaran langsung di ruangan TikTok bertajuk ‘Mitos dan Fakta Pemaparan Harga Ubat’ bagi memberi penerangan kepada orang awam mengenai pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN