Tiada lebih layak melainkan Bront Palarae - Utusan Malaysia

Tiada lebih layak melainkan Bront Palarae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2025 menjadi tahun ke-6 pelakon, Bront Palarae dilantik sebagai duta Malaysia International Film Festival (MIFFest). Kali ini, aktor berusia 46 tahun ini bergandingan dengan Siti Saleha dan Daiyan Trisha selaku duta festival tersebut.

Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan sebesar itu. Apatah lagi melibatkan festival filem yang bertaraf antarabangsa.

Tanggungjawab yang dipikul duta festival filem adalah berat kerana yang dipilih bukan sahaja mewakili penggiat filem tempatan, malah membawa nama negara ke mata dunia.

Beberapa faktor yang membuatkan Bront terus diberi kepercayaan ini setiap tahun. Antaranya mungkin profil kerjaya lakonannya yang mencakupi ruang perfileman Asia seperti di Thailand dan Indonesia.

Tidak mengambil ringan soal pelantikannya itu, pelakon berdarah kacukan Melayu, Pakistan dan Thailand ini menggunakan segala kelebihan yang dimilikinya untuk memberi sumbangan kepada festival filem itu yang tahun ini telah memasuki penganjuran kelapan.

“Selain di Malaysia, saya juga bekerja di luar negara. Jadi, sebagai duta MIFFest, saya berperanan untuk mengenal pasti filem-filem menarik Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk diketengahkan dalam festival ini.

“Dan ramai juga tak tahu peranan saya sebagai penghubung atau pengantara kepada penggiat filem serantau dan antarabangsa,” katanya.

Memasuki tahun kelapan penganjuran, pasti ada sebab mengapa festival ini bertahan. Tidak seperti beberapa acara yang bersifat hangat-hangat tahi ayam, yang melingkup selepas setahun dua dianjurkan.

Kata Bront, MIFFest meninggalkan impak yang besar buat industri perfileman negara-negara yang menyertainya.

“Paling penting, festival ini berfungsi mempromosikan bukan sahaja filem kita, tetapi negara kita sebagai destinasi pelancongan dan penggambaran filem.

“Selain itu, ia juga memperkenalkan kita kepada filem-filem luar yang mungkin asing buat masyarakat kita,” kongsinya.

KUASAI SELERA PENONTON TEMPATAN

Sebagai pelakon tempatan yang berjaya mencipta nama di negara luar, Bront maklum akan citarasa filem penonton luar seperti di Indonesia dan Thailand.

Justeru katanya, kejayaan sesebuah filem adalah berdasarkan selera audiens.

“Orang luar tidak tengok semua filem kita. Tapi mereka akan tertarik untuk tonton filem yang benar-benar berjaya dari segi kutipan.

“Kita juga kena faham, selera penonton di setiap negara berlainan. Contoh di Indonesia, penonton mereka lebih sukakan filem seram berbanding aksi.

Sebab itulah filem Munafik berjaya di sana.

“Jadi untuk kita jual filem kita ke luar, kita kena kaji dulu selera penonton. Tapi sebaiknya kita menangi kehendak penonton lokal dahulu,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, Bront juga teruja dengan pembangunan filem tempatan yang semakin meyakinkan dari semasa ke semasa.

“Standard filem kita semakin baik. Contoh Blood Brothers yang kualitinya pada tahap antarabangsa.

“Cuma masalahnya, kualiti tak konsisten. Ada satu filem bagus, tiga lagi mengecewakan. 

“Tapi jurang itu sudah semakin berkurangan. Lebih-lebih lagi apabila banyak filem tempatan yang berpotensi meledak, ditayangkan dalam tempoh dua bulan akan datang ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya