KUALA LUMPUR: Tidak timbul sebarang isu nepotisme sekiranya Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi sesi Pemilihan PKR 2025-2028.
Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Nurul Izzah yang merupakan Naib Presiden parti bukannya dilantik memegang jawatan nombor dua dalam parti itu.
Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah suara akar umbi yang menyatakan sokongan supaya dirinya diberikan laluan untuk bertanding.
“Apa makna nepotisme? Kalau Nurul Izzah dilantik oleh bapanya sendiri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu adalah nepotisme.
“Beliau bukannya dilantik tetapi ini adalah pertandingan bagi pemilihan jawatan tertinggi dalam PKR. Lebih 30,000 suara akar umbi akan membuat keputusan. Bagi saya, tidak timbul isu nepotisme sebab ini adalah pemilihan sekiranya beliau terpilih nanti,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditemui selepas majlis perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais ASEAN (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, ramai suara akar umbi dan pemimpin parti mula melobi bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR.
Ramanan turut mengesahkan dirinya bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR pada sesi pemilihan kali ini.
Mengulas lanjut, katanya, lebih dua pertiga daripada 222 cabang PKR sudah mencalonkan Nurul Izzah bagi merebut jawatan itu, sekaligus menunjukkan suasana demokrasi dalam parti.
“Beliau bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam politik tetapi memiliki integriti yang tinggi serta kepemimpinan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah pemilihan parti yang sihat dan biar suara akar umbi yang membuat pilihan,” katanya. – UTUSAN