BELLA ASTILLAH sudah merakamkan banyak lagu, namun, karyanya tidaklah benar-benar diraikan dan saya masih mencari-cari apakah hook dalam setiap produknya sehingga membuatkan pendengar tahu lagu itu adalah trademark ‘Bella Astillah’?
Ada pun beberapa lagu terbit seperti Tenang (2020), Tetap Di Sini (2022), Pano (2023), Bermanja-Manja (2024), Lukisan (2024), Tapi Bukan Denganmu (2024) dan Cacaca (2024) hadir sebagai naskhah pop yang sebenarnya sudah mengiringi kehendak pasaran, namun, penerimaannya bergerak pada parasa biasa sahaja.
Kali ini, Bella memberi kelainan mempersembahkan satu karya pop galau ciptaan komposer dari Indonesia, Ade Govinda, berjudul Berpisah Lebih Indah tanda kelangsungan bermuziknya dalam pasaran tempatan dan republik negara itu.
Semua tahu, Ade yang bertanggungjawab menghasilkan lagu paling boom Masing-Masing (Ernie Zakri), merupakan nama besar dalam industri muzik Indonesia.
Kejayaan itu terbukti menerusi pelbagai rakaman lagu ciptaannya seperti Hal Hebat (Govinda), Terbaik Bagimu (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Dibanding Dia dan Kalau Bosan (Lyodra) kemudian menyambung jalinan ilham muziknya untuk Bella.
Ketika saya mendengar pertama kali bahagian awal Berpisah Lebih Indah, Ade dan Bella sudah memberi gambaran duluan dalam persembahan Ernie X Govinda menerusi Hal Hebat kerana penyampaiannya masih terikat dalam format serupa.
Saya menjangka, Ade keluar daripada kebiasaan supaya tiada perbandingan dengan lagu terdahulu atau setidak-tidaknya orang tidak menganggap ini adalah Hal Hebat 2.0 atau Masing-Masing 2.0.
Graf melodi lagunya kedengaran agak pegun kerana sebagai lagu berdurasi sepanjang hampir lima minit, saya mengharapkan ada bahagian atau bar lagu bergerak lebih rapat dan intensif supaya nyanyian Bella tidak kedengaran terlalu mellow dan kelemasan.
Saya sukar mencari bahagian korus sebenar kerana melodinya kedengaran seragam dari awal dan akhir lagu. Tiada hook atau korus yang mudah diingati dan berulang seperti mana kita semua mengingati Masing-Masing di frasa:
“Tapi aku letih juga
Lebih baik kita masing-masing”
Dan pengulangan frasa:
“Pernah sesayang itu pernah” dan “Pernah bersama kita tapi itu dulu” turut berfungsi sebagai hook tambahan sekaligus memperkuat tema lagu tentang kenangan cinta yang lalu, sementara Berpisah Lebih Indah tiada elemen utama yang menonjol dan benar-benar mengikat pendengar.
Saya faham, Ade mungkin cuba menyesuaikan lagu dengan cara Bella bernyanyi terutama ketika mencapai nada tinggi, namun, hakikatnya, corak vokal Bella tiada variasi.
Lagu ini mungkin tidak akan setanding Mati-Matian (Mahalini) atau Masing-Masing (Ernie) kerana kemampuan kedua-dua penyanyi itu sudah terbukti dalam memberi persembahan yang cukup sempurna sifatnya. Seandainya Berpisah Lebih Indah dihasilkan dalam format sebegitu, kita semua tahu bagaimana keadaan sebenar ketika Bella menyanyi Mati-Matian secara langsung dahulu.
Saya harus bersikap adil dan tidak mengharapkan Bella memberi satu rakaman sebaik Menjaga Jodoh Orang Lain (Ara Johari) atau Tak Segampang Itu (Anggi Marito). Saya masih tertarik dengan alunan melodinya kerana tetap menghibur pendengar-pendengar yang gemarkan genre begini.
Dahulu, orang pernah muak kerana Bella sering menyanyikan lagu Masing-Masing terutama pasca perceraiannya dengan Aliff Aziz. Untuk menutup lompong itu, maka, dia memberi produk baharu dengan penyampaian yang serupa. Namun, sekalipun ia menjadi satu lagi gerakan Indo-pop galau yang, Berpisah Lebih Indah masih bergantung kepada getaran, hype dan trend Masing-Masing serta Menjaga Jodoh Orang Lain.
Berpisah Lebih Indah terhasil sekadar baik dan memadai, kerana dia tidak memiliki vokal heavy dan rounded. Seandainya Bella menyanyi di dalam satu balang kaca bulat atau melengkung, gelombang suaranya tidak akan menyentuh lantai atau permukaan. Dalam maksud lain – flat. Jika dia membuat lebih banyak eksperimentasi muzik, saya bimbang, ia akan menjerat dirinya sendiri pada persembahan secara langsung.