KUALA NERUS: Terengganu Football Club (TFC) menyangkal dakwaan kelab tersebut gagal melunaskan pembayaran gaji penyerang import, Ivan Mamut selama hampir sembilan bulan pada musim lalu.
TFC melalui kenyataan media memamklumkan, berita tersebut tidak tepat dan diambil daripada sumber tidak sahih.
“TFC sentiasa menjaga kebajikan dan memberi peluang kepada semua pemain untuk berbincang mendapatkan jalan terbaik demi kesejahteraan dan kebaikan pasukan.
“Jika ada sebarang perkara yang tidak dijelaskan sama ada gaji atau hal-hal lain, saluran yang betul boleh digunakan sebagaimana termaktub dalam perjanjian atau kontrak yang telah dipersetujui,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, Mamut menandatangani kontrak lanjutan musim 2024/2025 pada Disember 2023.
Bagaimanapun, pemain tersebut mengalami kecederaan serius pada Mac 2024 sehingga menyebabkannya berehat panjang dan menjalani pembedahan di negara asalnya, Croatia.
“Pada Januari lalu, Mamut kembali melapor diri di bumi Terengganu untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia, tetapi tidak dapat dapat bermain kerana tidak cergas sepenuhnya. Pada musim 2024/2025 beliau tidak menyumbang apa-apa minit permainan kepada TFC,” kata kenyataan itu.
Justeru, TFC berharap isu tersebut tidak digembar-gembur kerana bukan sahaja merosakkan imej TFC malah memberi imej negatif kepada Liga Malaysia secara amnya.
“TFC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluar atau menyebar berita yang boleh menjejaskan reputasi kelab,” ujarnya. – UTUSAN