Tentera direman tujuh hari berkaitan kes cabul pelajar

Tentera direman tujuh hari berkaitan kes cabul pelajar

SUSPEK kes cabul pelajar dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera berpangkat sarjan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mencabul seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, minggu lalu.

Perintah reman sehingga 20 Mei ini dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Sebelum ini, kejadian terbongkar pada 11 Mei lalu ketika pengadu iaitu ibu pelajar berkenaan yang berusia 33 tahun memeriksa telefon bimbit milik anaknya untuk mengakses emel bertujuan mengawal penggunaan peranti tersebut.

Katanya, pengadu kemudian terlihat perbualan anaknya dengan suspek lalu bertanyakan perkara sebenar.

Remaja itu mengaku menyimpan nombor telefon suspek yang juga jirannya. Mangsa dan suspek berkenalan sejak Januari lalu selepas kerap berjumpa di kawasan taman permainan di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru.

Mereka semakin rapat kerana sering berhubung melalui aplikasi Whatsapp dengan mangsa juga mengaku pernah keluar beberapa kali dengan suspek.

Pada 4 Mei lalu suspek telah menjemput mangsa yang bersekolah di sebuah sekolah berasrama di Melaka kira-kira pukul 11 pagi selepas mendapat kebenaran keluar.

Suspek membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kawasan Alor Gajah sebelum bertindak mencabul remaja itu di dalam kereta. 

Pengadu yang membaca perbualan di Whatsapp telah bertanyakan kepada mangsa dan mengaku suspek mencabulnya dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut. 

Suspek ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN