BAGAN SERAI: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah yang mengusahakan ternakan lembu secara komersial di Bukit Merah dekat sini sejak 2023 menyediakan 200 ekor lembu untuk ibadah korban tidak lama lagi.
Menurut seniman berusia 66 tahun itu, kebiasannya beliau menerima tempahan untuk tujuan ibadah korban daripada pihak korporat, jabatan dan agensi kerajaan serta orang perseorangan.
“Alhamdulillah tempahan lembu korban sangat baik tahun ini. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelanggan yang sebelum ini pernah membeli lembu dengan saya.
“Biasanya mereka ambil sekali banyak, lebih daripada lima ekor supaya mudah untuk dihantar. Mereka terdiri daripada pelanggan tetap yang sudah biasa membeli lembu dengan saya, bukan sahaja lembu untuk sembelihan korban tapi juga untuk jualan hari biasa.
“Kalau ikutkan bilangan lembu di tempat saya bukannya banyak sangat tapi mereka membeli dengan saya kerana mahu memberi sokongan kepada saya yang baharu menceburi bidang ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mengenai penglibatannya dalam bidang ternakan, Jamal berkata, beliau mahu menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan keterjaminan makanan negara.
Katanya, dalam masa sama beliau juga tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada bidang nyanyian sebagai sumber pendapatan.
Jelas Jamal, bermula dengan hanya 25 ekor lembu dan ladang seluas dua hektar, kini ternakannya semakin bertambah lantas memberi semangat kepadanya untuk meneruskan perniagaan itu.
“Saya juga menyertai jualan murah di beberapa tempat termasuk di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng sejak seminggu lalu dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak yang menawarkan harga daging lembu di bawah harga pasaran.
“Keprihatinan pelbagai agensi kerajaan membantu saya dalam bidang ini terutama segi khidmat nasihat untuk menjadi penternak yang berjaya dan maju,” katanya. – UTUSAN