Teknologi torehan baharu bantu tingkat keluaran lateks 

Teknologi torehan baharu bantu tingkat keluaran lateks 

MOHAMAD SUPARADI MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Kerajaan kini dalam usaha memperkenal metodologi dan teknologi torehan getah yang baharu bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara secara lebih efisien dengan kos  rendah.

Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC), Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor berkata, ia merupakan sebahagian daripada pelan komprehensif yang dirangka bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mengaktifkan semula 420,000 hektar kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh ketika ini.

“Teknologi baharu ini memberi tumpuan kepada kaedah torehan moden dan sistem pengumpulan serta pencairan lateks yang lebih tersusun. Dengan penggunaan teknologi ini, ia sekali gus dapat meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan pekebun kecil.

“Penoreh berpotensi menjana pendapatan melebihi RM5,000 sebulan berbanding kira-kira RM700 sebelum ini dengan keluasan kebun yang sama,” katanya selepas Program Jom Masuk U Peringkat Parlimen Tanah Merah dan Pelancaran Persatuan Pelajar IPT Tanah Merah (PINTAR) di Bilik Gerakan Utama UMNO Bahagian Tanah Merah, Batu 9, di sini hari ini.

Mohamad Suparadi berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import lateks, terutama dari Thailand yang kini mencecah RM3 bilion setahun.

“Metodologi baharu ini sedang dirangka secara teliti dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi memastikan ia memberi impak langsung kepada golongan pekebun kecil.

“Sebagai permulaan, satu projek perintis akan dilaksanakan di Bukit Panau melibatkan 82 pekebun kecil. Teknologi ini telah diuji di Janda Baik dan sekiranya berjaya, kita perluas pelaksanaan teknologi ini ke kawasan-kawasan lain termasuk Tanah Merah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN