Teknologi digital kunci daya saing masa depan ASEAN - Utusan Malaysia

Teknologi digital kunci daya saing masa depan ASEAN

asean
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN tidak boleh ketinggalan dalam perlumbaan teknologi global yang kini diterajui oleh kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum jika ingin kekal relevan dan berdaya saing di persada dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan pesat teknologi digital memberi implikasi besar terhadap hala tuju rantau ini, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah turut melibatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat ASEAN secara menyeluruh.

“Ketika ASEAN menyertai dunia digital, termasuk dalam perlumbaan AI dan teknologi kuantum, kita tidak boleh melepaskan peluang ini untuk memacu pertumbuhan ekonomi, kemajuan masyarakat dan meningkatkan keselamatan rantau ini.

“Di bawah Kepengerusian Malaysia, ASEAN akan memanfaatkan kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi khususnya dengan mempercepatkan transformasi digital dan penerokaan teknologi baharu.

“Ini adalah peluang untuk kita mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan keselamatan serantau secara lebih menyeluruh,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-36, di sini hari ini.

Mohamad berkata, meskipun teknologi menawarkan potensi besar, ASEAN perlu memastikan tiada pihak yang ketinggalan ketika rantau ini bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan ketahanan dan pandangan jauh.

Katanya, kemampuan ASEAN untuk terus bersatu, menyesuaikan diri dan bersifat inklusif dalam dunia yang semakin digital, saling berhubung dan kompleks akan menjadi kunci kepada daya saing serta kesinambungan peranan dan kejayaan rantau itu.

“Sejarah ASEAN sendiri telah membuktikan perpaduan dan keteguhan yang dikekalkan selama ini telah membuka banyak peluang dan pembangunan luar biasa kepada rakyat kita,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, mesyuarat hari ini merupakan peluang tepat untuk menilai kemajuan yang telah dicapai oleh ASEAN di bawah tiga tonggak utama kerjasama iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

Ini penting memandangkan kita semakin menghampiri penghujung visi “ASEAN 2025: Menyahut Masa Depan Bersama” dan bergerak ke hadapan menuju masa depan menerusi “ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama”.

“Selain itu, sebagai persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 esok, hari ini kita juga akan menyemak pelaksanaan keputusan dan komitmen yang telah dibuat oleh pemimpin semasa Sidang Kemuncak terdahulu di Vientiane,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga menilai kemajuan dicapai oleh Timor-Leste dalam usaha Malaysia mempercepatkan keahlian penuhnya dalam ASEAN serta mempertimbangkan pelbagai laporan yang telah dikemukakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN