MELAKA: Penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat negeri menyifatkan kejayaan itu sebagai pemangkin semangat untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat setempat terutama membantu golongan belia yang terbiar.
Mohamad Norshah Ezwan Yusoh, 30, yang dinobatkan selaku johan kategori individu lelaki berkata, dahulu dia bukanlah seorang pelajar yang pandai ketika zaman persekolahan, selain suka bersosial hingga mengabaikan pelajaran.
“Namun, sejak menyertai pelbagai aktiviti belia di bawah Jabatan Belia dan Sukan Melaka ketika berusia 15 tahun, ia terus mengubah hidup saya menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.
“Apabila menyertai pelbagai kursus seperti kepimpinan dan sebagainya, barulah saya faham erti kehidupan sebenarnya dan alhamdulillah saya kini berjaya menubuhkan syarikat pengiklanan milik sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas penyampaian APBN sempena Sambutan Hari Belia Negara di Taman Rekreasi Bukit Serindit di sini, semalam.
Kejayaan itu membolehkannya menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,500.
Tambah Mohamad Norshah, dia bertekad membantu belia-belia yang terbiar untuk kembali ke pangkal jalan dan menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negeri.
“Nasihat saya kepada golongan belia, walaupun kita gagal sekali tidak semestinya kita akan terus gagal dan kena yakin pada diri untuk berjaya ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Asmah Sulaiman, 33, dari Bukit Tembakau, Umbai yang dinobatkan johan kategori wanita, dia berazam untuk merangkul APBN peringkat kebangsaan suatu masa nanti.
“Saya pernah menang APBN peringkat negeri pada 2022 dan kemenangan ini adalah kali kedua. Saya berazam untuk merangkul gelaran tertinggi sebelum saya berundur menjadi ahli belia tahun depan,” katanya yang mengusahakan ternakan lembu. – UTUSAN