PETALING JAYA: Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada Selasa, 27 Mei hadapan bersamaan 29 Zulkaedah 1446 Hijrah di 29 lokasi seluruh negara.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan tarikh Awal Zulhijah (1 Zulhijah) akan diisytiharkan pada malam hari sama menerusi siaran radio dan televisyen.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang hari Selasa, 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah tahun 1446 Hijrah.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Zulhijah adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” katanya.
Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka dan Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan.
Turut tersenarai ialah Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Manjong, Perak serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Di Kedah, lokasi yang diperkenankan ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar manakala di Terengganu pula ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.
Bagi negeri Kelantan, lokasi cerapan ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu. – UTUSAN