MARANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menyelamatkan seekor tapir seberat 320 kilogram (Kg) yang terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Kampung Kijing, di sini, semalam.
Pengarahnya, Loo Kean Seong, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota Perhilitan di lokasi mendapati tapir betina dianggarkan berumur 13 tahun terperangkap di dalam sebuah lubang kumbahan berhampiran rumah penduduk.
“Kerja-kerja menyelamat haiwan liar itu dijalankan dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pasukan bomba Marang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, tapir itu dinaikkan kira-kira pukul 12 tengah hari dan Perhilitan merawat kecederaan ringan dihadapinya sebelum dilepaskan kembali ke habitat asalnya. – UTUSAN