Siapa sangka kegagalan pertama menjadi titik permulaan kejayaan luar biasa bagi seorang remaja berusia 17 tahun Tanusya A/P Manimuthu apabila dia kini mencipta rekod baharu dalam Asia’s Book of Records.
Tanusya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, dinobatkan sebagai individu muda yang berjaya berucap hampir tiga jam tanpa henti dalam satu sesi pengucapan awam, sekali gus melayakkan dirinya mencatat nama dalam rekod Asia.
Bagi remaja berusia 17 tahun ini, kegagalan pertamanya dalam menyertai pertandingan pengucapan awam bukanlah titik noktah sebaliknya menjadi titik tolak kepada pencapaian yang luar biasa.
Tanusya berkata, penyertaannya dalam bidang iitu bermula secara tidak sengaja apabila diarahkan menggantikan senior untuk pertandingan antarabangsa dalam masa tiga hari, dengan topik mencabar berkaitan Matematik.
“Walaupun sukar, saya berjaya menulis dan menghafal dalam masa singkat dan memenangi tempat pertama,” katanya.
Selain itu, rekod baharu yang dicatatnya memerlukannya bercakap tanpa henti, hanya dibenarkan rehat lima saat antara bahagian ucapan, satu cabaran besar berbanding kebiasaannya yang hanya berucap selama beberapa minit.
Menurut Tanusya, kejayaan dalam pengucapan awam bukan sekadar menyampaikan isi, tetapi bergantung kepada intonasi, ekspresi wajah, dan elemen kejutan untuk menarik perhatian penonton.
“Teknik hafalan berkesan perlu diitekankan, iaitu dengan membaca berulang kali dan memahami isi utama berbanding menghafal keseluruhan teks.
“Setiap ucapan awam berbeza pendekatannya. Jika melibatkan ucapan berbentuk fakta atau pujukan, saya akan menyelitkan elemen humor dan fakta menarik agar pendengar lebih tertarik dan tidak berasa bosan,” katanya.
Sementara itu, inspirasi utama Tanusya ialah datuk saudaranya yang banyak memperkenalkan buku dan memberi pendedahan awal tentang universiti ternama seperti Harvard dan Oxford, yang kini menjadi cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan.
Di bawah dorongan ibunya dan ilham daripada cadangan rakan keluarga, Tanusya memulakan langkah untuk mencipta rekod individu.
Sebelum ini, dia terlibat dalam pencapaian berkumpulan dan meraih pengiktirafan melalui Malaysia Book of Records (MBR) bagi dua pencapaian penghasilan anak patung Sue Bonnet terbanyak di bawah Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada tahun 2024, serta pembinaan layang-layang Malaysia daripada origami terbesar bersama Akademi Origami Malaysia pada tahun 2019.
Dalam pada itu, Tanusya telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam bidang pengucapan awam dan memperoleh dua kemenangan besar iaitu Pertandingan Pengucapan Awam WeVoi UK dan Kejohanan Pengucapan Tiba-tiba Australasia. – UTUSAN