KOTA BHARU: Penangkapan dua suspek yang menyamun sebuah kedai serbaneka di sini semalam, membantu polis menyelesaikan enam kes berkaitan kesalahan itu dalam tempoh kurang 72 jam.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejayaan itu hasil maklumat dan risikan yang dilakukan oleh pihaknya selepas menerima laporan berkaitan kes tersebut bermula 10 Mei hingga semalam.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan pada pukul 6.45 pagi dalam serbuan di Jalan Sultanah Zainab di sini, oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Balai Polis Kota Bharu.
“Hasil siasatan pihak polis dapati kedua-dua suspek terlibat dalam enam kes samun berkumpulan melibatkan kedai serbaneka di kawasan Pengkalan Chepa dan Kota Bharu. Pada
“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, pihak kami telah berjaya menyelesaikan enam kes samun berkumpulan dan satu kes cubaan samun di daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, semasa serbuan polis turut merampas sepucuk pistol tiruan jenis Walther P99, dua buah motosikal dan lain-lain barangan peribadi milik suspek yang digunakan semasa kejadian.
Katanya, saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk permohonan tahanan reman,” ujarnya.
Media semalam melaporkan, seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Jalan Hamzah di sini berdepan detik cemas selepas diacu sepucuk pistol oleh lelaki yang dipercayai cuba menyamun premis tersebut hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an berada di dalam pejabat kedai serbaneka itu sebelum menyedari pintu bilik itu diketuk oleh seseorang.-UTUSAN