Taman permainan perangkap maut

Taman permainan perangkap maut

BEBERAPA kanak-kanak menggunakan alatan di taman permainan di Taman Rakyat Bestari, Kemaman, Terengganu meskipun rosak dan membahayakan nyawa mereka. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk Kampung Bukit Kuang di sini merayu pihak berwajib membaik pulih taman permainan di Taman Rakyat Bestari yang rosak dan uzur.

Tinjauan mendapati, kawa­san itu masih dikunjungi ramai kanak-kanak pada setiap petang dan mereka bermain menggunakan alat permainan yang rosak.

Beberapa alatan seperti buai­an sudah putus, papan gelongsor pula pecah dan beberapa permainan lain berkarat.

Penduduk, Shazwani Mohd. Yusof, 36, berkata, alat permai­nan yang rosak dan tidak diselenggara boleh membahayakan nyawa kanak-kanak yang bermain di situ.

“Taman permainan ini memang menjadi tumpuan ramai kanak-kanak kerana kawasan sekitar terdapat banyak rumah penduduk.

“Walaupun papan gelongsor sudah pecah dan menunggu masa runtuh, masih ramai kanak-kanak yang menggunakannya. Saya dan beberapa pengunjung lain ada melarang mereka bermain, namun tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Nurul Amirah Nawawi, 38, berkata, dia terpaksa melarang dua anaknya yang berusia lima dan tujuh tahun menggunakan alatan yang rosak kerana bimbang ce­dera.

“Saya hanya bawa anak bermain basikal di taman ini. Biasanya mereka bermain buaian dan gelongsor, bila sudah rosak begini, terpaksa saya pantau mereka lebih ketat dan tidak benarkan mereka bermain peralatan rosak.

“Kami sangat berharap pihak berwajib ambil tindakan segera baik pulih dan selenggara alatan mainan di taman ini supaya kanak-kanak dapat bermain dengan selesa. Kalau ikutkan sudah hampir dua bulan peralatan ini rosak, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Shahriz Shamsuddin, 40, mendakwa, kemudahan-kemudahan itu rosak mungkin disebabkan perbuatan vandalisme pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau ikutkan taman permainan ini masih baharu dan tidak terlalu usang, namun alatan permainan rosak mungkin disebabkan ada individu sengaja rosakkan atau salah guna kemudahan yang disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN