BUTTERWORTH : Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 28 pertuduhan iaitu menipu seorang ejen pembekal pita pelekat untuk menyerahkan komisen berjumlah RM172,985.
Tertuduh, A. Puvanesvari, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa telah memperdaya seorang lelaki yang juga ejen kepada sebuah syarikat pembekal pita pelekat kononnya wujud projek pembekalan barangan tersebut sekaligus mendorongnya menyerahkan wang komisen antara RM1,000 hingga RM19,500.
Wang terbabit diserahkan oleh ejen menerusi 28 transaksi ke empat akaun bank berbeza yang dikawal oleh tertuduh.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 26 April hingga 24 Jun tahun lalu di sebuah apartmen di Jalan Bagan Jermal di sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara tempoh setahun hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan dan didenda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Teh See Khoon memohon jaminan minimum dikenakan atas alasan anak guamnya yang kini menganggur memiliki tiga orang anak berumur 13 hingga 19 tahun yang perlu disara.
“Perbelanjaan keluarga ketika ini ditanggung sepenuhnya oleh suaminya yang memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM3,000. Selain itu, anak guam saya (Puvanesvari) juga menghidap diabetes serta tekanan darah tinggi,” kata See Khoon.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Jun depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.-UTUSAN