KUALA TERENGGANU: Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan mewajibkan peniaga menggunakan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial 14 kilogram ke atas yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, arahan terbaharu itu didapati menekan peniaga makanan, selain menyebabkan berlaku lonjakan kos operasi sehingga tiga kali ganda.
Katanya, penyusunan semula subsidi perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan komunikasi yang jelas serta disertakan insentif sokongan.
“Ramai pengusaha makanan mengadu kepada saya bahawa mereka sebelum ini hanya membelanjakan sekitar RM2,600 sebulan untuk gas, namun kini terpaksa menanggung kos mencecah RM7,000 selepas diarahkan menggunakan LPG komersial. Kesan rantaian daripada peningkatan kos ini akhirnya akan ditanggung pengguna,” katanya di sini, hari ini.
Rosol berkata, keadaan bertambah buruk apabila ramai peniaga menjadi sasaran Op Gasak sejak tiga minggu lalu, sehingga ada yang dikompaun dan tong gas dirampas pihak berkuasa. – UTUSAN