Syed Budriz ketuai senarai 25 penerima darjah kebesaran Perlis

Syed Budriz ketuai senarai 25 penerima darjah kebesaran Perlis

SYED Budriz Putra Jamalullail mengetuai senarai penerima darjah kebesaran sesi pertama sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pengerusi ARKA Hol­dings, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail mengetuai senarai 25 penerima darjah serta pingat kebesaran bagi sesi pertama sempena Ulang Tahun Kepute­raan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, di sini semalam.

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan Syed Budriz dengan Darjah Dato’ Setiausaha Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSSJ) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Hakim Mahkamah Tinggi Ka­ngar, Yang Arif Dr. Arik Sanusi Yeop Johari menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Tiga penerima Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan; bekas Pengerusi Rejimen Renjer Diraja, Mejar

Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Datuk Dr. Zaliman Sauli.

Tiga penerima Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalul­lail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk iaitu bekas Pe­ngerusi Kor Polis Tentera Diraja, Mejar Jeneral Abd. Wahab Geoh; Ketua Pengarah Pengurusan dan Latihan, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PU­SPAHANAS), Mejar Jeneral Mohd. Azmurin Mat Khalib dan Pengarah Pejabat Pemba­ngunan Persekutuan Kedah, Zepri Saad.

Seramai enam individu menerima Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Azlan Amran dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimap, Prof. Dr. Mohd. Shukry Abdul Majid.

Turut menerima SMP, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Unimap, Profesor Dr. Mohd. Mustafa Albakri Abdullah dan Ketua Jabatan ENT, Hospital Tentera Tuanku Mizan, Brigedier Jeneral Dr. Loh Sheau Torng.

Sembilan individu pula pe­nerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) manakala Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) melibatkan dua individu.

Sesi pertama tersebut melibatkan pengurniaan kepada 25 individu sebagai simbolik bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda yang bermula 17 April lalu sehingga 16 April tahun hadapan.

Terdahulu, sebelum sesi penganugerahan tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengikuti Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama yang berlangsung di pekarangan Istana Arau.

Sebanyak 21 das meriam dilepaskan bersama dengan alunan lagu rasmi negeri.

Berangkat sama mengiringi baginda, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN