Syarikat konsesi BAS.MY perlu pertingkat kualiti pemandu

Syarikat konsesi BAS.MY perlu pertingkat kualiti pemandu

AB. RAUF Yusoh menghadiri Program WRUR DUN Sungai Udang di SJKC Bertam Ulu dan SRA JAIM Bertam Hulu, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Syarikat konsesi perkhidmatan bas henti-henti, BAS.MY Melaka perlu mempertingkatkan latihan dan kualiti pemandunya susulan insiden kemalangan maut, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, insiden tragis itu jelas berpunca daripada kecuaian serta ketidakcekapan pemandu terlibat sehingga meragut nyawa seorang pemuda berusia 23 tahun.

“Dalam rakaman video tular itu, saya sendiri lihat kelalaian dan kealpaan pemandu walaupun dia tiada rekod kesalahan trafik.

“Namun, kecuaian kecil boleh membawa padah besar, lantaran saya minta pihak konsesi BAS.MY beri latihan lebih ketat kepada pemandu mereka agar insiden sebegini tidak berulang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bertam Hulu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang semalam, mangsa, Muhammad Aiman Mohd. Farid maut manakala rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera apabila kereta Perodua Kembara dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah bas.

Nahas berlaku di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru ketika kenderaan mangsa berhenti di bahu jalan dan memasang lampu kecemasan.

Siasatan awal mendapati, pemandu bas dipercayai lalai ketika memandu apabila rakaman kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan dia meneguk minuman beberapa saat sebelum nahas berlaku.

Tambah Ab Rauf, pelantikan syarikat konsesi itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan meminta pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta polis memperketatkan aspek disiplin dan pemantauan terhadap operator pengangkutan awam.

“Saya harap JPJ dan polis boleh jalankan pendidikan disiplin dan pemantauan lebih menyeluruh terhadap pemandu dan syarikat konsesi,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN