KULAI: Johor menerima pelaburan bernilai kira-kira RM1 bilion apabila syarikat teknologi Jerman, Sick AG menerusi anak syarikatnya, Sick Sdn. Bhd. membina kilang berkaitan peralatan sensor di Senai Airport City, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, kilang tersebut akan dibina secara berfasa sehingga tahun 2045.
Menurut beliau, apabila siap sepenuhnya, ia akan mewujudkan sebanyak 2,500 peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan.
“Fasa pertama telah bermula dengan pelaburan bernilai RM280 juta yang dijangka siap pada 2026 dengan mengupah seramai 450 tenaga kerja tempatan.
“Ini bukan sekadar pembukaan kilang, tetapi permulaan kerjasama jangka panjang yang bakal mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab utama industri pintar dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan, hari ini.
Tambah Ting Han, pemilihan Johor sebagai lokasi pelaburan membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap kekuatan ekosistem perindustrian, bakat tempatan, dasar kerajaan dan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia.
“Pelaburan ini bertepatan dengan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang rancak diusahakan bagi memastikan pelaburan berkualiti terus dibawa masuk.
“Sick Sdn. Bhd. juga merancang untuk bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang pembangunan bakat, penyelidikan dan peluang kerjaya.
“Langkah itu selari dengan agenda Johor untuk memperkukuh kerjasama industri-akademik melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC),” katanya. – UTUSAN