PETALING JAYA: “Semoga Allah memberi rezeki zuriat, Amin.”
Demikian luahan pelakon, Sweet Qismina yang berharap dirinya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata satu hari nanti.
Meskipun sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga, Sweet terlihat tenang menantikan saat bermakna tersebut malah optimis dengan ketentuan Sang Pencipta.
Terbaharu, Sweet turut memuat naik gambaran dirinya sedang berbadan dua menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sebuah hantaran di TikTok.
“Membayangkan diri saya mengandung. Insya-Allah suatu hari nanti,” tulisnya ringkas.
Tersentuh dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet, terutamanya kaum wanita menitipkan kata-kata semangat buat pelakon drama Dendam Seorang Madu itu di ruangan komen.
Malah, ada juga yang mendoakan agar impiannya untuk bergelar seorang ibu menjadi kenyataan.
Perkongsian tersebut mengundang simpati dan menyentuh perasaan ramai, khususnya dalam kalangan wanita yang turut melalui perjalanan mencabar untuk memperoleh zuriat.
“Ya Allah, semoga Sweet Qismina dan pasangan akan dikurniakan rezeki zuriat anak yang soleh dan solehah. Aamin,” kata seorang peminatnya.
“Saya pun belum ada rezeki anak walaupun dah lima tahun kahwin. Gambar ni buat saya sebak. Semoga dipermudahkan, semua wanita TTC (Try To Conceive) kuat-kuat ya,” komen seorang netizen.
Untuk info, Sweet telah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Adam Lee pada 24 Oktober 2022.- UTUSAN