BATU PAHAT: Sebuah kenderaan rasmi milik Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading dilaporkan dirosakkan oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian sekitar jam 11 pagi semalam.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, suspek yang menaiki motosikal bertindak memecahkan Toyota Estima milik pejabatnya yang diparkir di luar premis.
“Pegawai saya yang berada di pejabat cuba mengejar pelaku tetapi gagal. Namun nombor plat motosikal sempat direkod,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Yong Peng dan suspek berjaya ditahan pada hari yang sama.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Johor berkata, perbuatan berkenaan adalah tidak wajar dan menyeru semua pihak supaya berpolitik secara matang.
“Kita tidak mahu tindakan ekstrem berlaku hanya kerana perbezaan pandangan. Politik harus diurus secara berhemah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek dipercayai seorang pesakit mental serta tiada unsur bermotifkan politik.-UTUSAN