BAGAN SERAI: Sumbangan orang ramai untuk menebus semula sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu di sini daripada pemiliknya yang bukan Islam, ditutup secara rasmi selepas mengumpul hampir RM2 juta dalam tempoh kurang 36 jam selepas kutipan dilancarkan.
Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusuf Majid berkata, jumlah keseluruhan kutipan ialah RM1,977,482.20 setakat pukul 8.30 malam tadi.
“Kami amat terharu dan bersyukur dengan sokongan luar biasa daripada umat Islam seluruh negara yang bersama-sama menyumbang bagi merealisasikan usaha pembelian tanah masjid ini yang sebahagiannya dimilik pemilik bukan Islam,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pihak masjid dimaklumkan mengenai jumlah kutipan derma itu oleh pendakwah terkenal, Ustaz Firdaus Wong, yang turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat berkenaan isu masjid tersebut melalui platform media sosial miliknya.
Katanya, kejayaan mengumpul sumbangan derma sebanyak itu membuktikan umat Islam mampu bersatu apabila matlamatnya jelas dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
“Allah telah gerakkan hati-hati umat Islam di seluruh tanah air.
“Ini satu kemenangan buat kita semua. InsyaAllah dan Ustaz Firdaus juga turut akan menyediakan peguam-peguam yang akan membantu dalam urusan perundangan dan sebarang isu yang berbangkit selepas ini.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk media dan individu yang membantu menyebarkan usaha murni ini. Semoga Allah membalas dengan ganjaran terbaik,” katanya
Sebagai tanda penghargaan dan makluman kepada para penyumbang, satu siaran langsung di media sosial akan diadakan dari Masjid Jamek Ar-Ridzuan malam esok.- UTUSAN