BAGAN SERAI: Jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Ridzuan di sini akan memulakan urusan pembelian sebahagian tanah masjid tersebut daripada pemilik bukan Islam selepas derma orang ramai kini mencecah RM2.3 juta.
Pengerusinya, Yusuf Majid berkata, proses awal akan dimulakan dengan menghantar wakil ke Ipoh bagi menghadiri sesi taklimat dan perbincangan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“InsyaAllah esok kita akan hantar wakil ke Ipoh untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak MAIPk. Langkah ini penting sebelum kita meneruskan rundingan seterusnya dan melibatkan proses guaman yang berkaitan pembelian tanah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, tanah tersebut ditawarkan pada harga RM1.8 juta dan kutipan yang diperoleh setakat ini memberi lebihan kira-kira RM500,000 yang akan digunakan secara berhemah bagi kepentingan jangka panjang masjid.
“Buat masa ini, kita akan rujuk kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan berhubung penggunaan lebihan kutipan dana tersebut,” katanya.
Beliau berkata, antara perancangan awal ialah untuk membangunkan sebahagian kawasan lebihan tanah sebagai tapak pertanian.
“Hasil pertanian itu nanti akan disalurkan semula ke dalam tabung masjid namun, semuanya tertakluk kepada kelulusan pihak berwajib kerana kami tidak mahu bertindak mendahului keputusan mereka,” katanya
Mengulas mengenai sambutan luar biasa sumbangan dana berkenaan, Yusuf melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan masyarakat yang menyokong usaha murni tersebut.
“Memang kami berasa sangat gembira. Ini hasil ikhtiar bertahun-tahun untuk menyelesaikan isu tanah masjid yang telah lama membelenggu kami. Syukur, masyarakat memberikan sokongan penuh,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan yang diterima datang daripada pelbagai pihak dengan majoritinya oleh individu dan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Penyumbang individu tertinggi sekitar RM1,500. Kalau jumlah yang lebih besar seperti RM10,000, biasanya datang daripada kumpulan atau NGO.
“Namun ada juga penyumbang yang tidak mahu identiti mereka didedahkan,” katanya. – UTUSAN