Sultan Pahang mahu pencerobohan tanah dinoktahkan

Sultan Pahang mahu pencerobohan tanah dinoktahkan

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah meninjau kawasan penerokaan durian musang king di Hutan Simpan Sungai Klau di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Isu pencerobohan tanah di Pahang perlu dinoktahkah mengikut lunas undang-undang dengan tidak boleh membiarkan kegiatan haram itu berterusan berlaku di negeri ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi peringatan keras kepada peneroka haram bahawa undang-undang tetap dikuatkuasakan tanpa kompromi dan hukuman lebih berat mungkin dikenakan jika pencerobohan terus berlaku.

Baginda mengambil contoh jumlah 10,600 hektar tanah pencerobohan haram di Raub yang merupakan satu angka sangat besar dan menunjukkannya kegiatan itu semakin berleluasa.

Titah baginda, mana-mana pihak yang hendak memiliki tanah perlu membuat permohonan secara rasmi melalui proses-proses yang ditentukan oleh kerajaan.

“Kalau (pencerobohan tanah) ini dibiarkan seolah-olah kita tidak ada pihak penguat kuasa, tidak ada pejabat hutan, tidak ada pejabat tanah, tidak ada pejabat MB (Menteri Besar) dan sebagainya.

“Kita boleh berusaha untuk menoktahkan perkara ini secara berperingkat-peringkat. Tak boleh buat secara mengejut dan sekali gus (kerana) itu mungkin susah sikit,” titah baginda selepas berkenan berangkat bercemar duli meninjau kawasan penerokaan durian Musang King di Hutan Simpan Sungai Klau, di sini semalam.

Al-Sultan Abdullah juga melahirkan rasa sedih melihat kawasan hutan di Lembah Bertam kini digantikan dengan ‘hutan plastik’ yang menjadi punca kemusnahan alam sekitar di Tanah Tinggi Cameron.

Baginda bertitah, keadaan itu menyedihkan dan menggambarkan tahap penerokaan tanah yang mengubah wajah semula jadi kawasan tersebut. 

“Memang saya selalu ke sana (Tanah Tinggi Cameron) dan bila saya terbang ke sana, saya berasa sedih kerana telah lalu atas Lembah Bertam, kita tengok dah macam bukan hutan lagi dah, hutan plastik saja,” titah baginda.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN