RAUB: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan duka cita melihat kemusnahan alam sekitar di Cameron Highlands hingga Lembah Bertam kini jadi `hutan plastik.’
Baginda bertitah, keadaan itu menyedihkan dan menggambarkan tahap penerokaan tanah yang mengubah wajah semula jadi kawasan tersebut.
“Memang saya selalu ke sana (Cameron Highlands) dan bila saya terbang ke sana, saya berasa sedih kerana telah lalu atas Lembah Bertam, kita tengok dah macam… bukan hutan lagi dah, `hutan plastik’ je.
“Boleh saya kata, kategori itulah. `Hutan plastik’ dah berada di Lembah Bertam ini,” titah baginda selepas berkenan berangkat bercemar duli meninjau kawasan penerokaan durian musang king di Hutan Simpan Sungai Klau di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sultan Abdullah menzahirkan rasa kecewa kerana aktiviti penerokaan telah menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan, menyamakan situasi itu dengan “nasi sudah menjadi bubur”.
Selain Lembah Bertam, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap (kerosakan) keseluruhan kawasan Cameron Highlands yang menyaksikan aktiviti penerokaan tanah secara berleluasa, meskipun terdapat usaha untuk memutihkan kawasan penerokaan, namun kegiatan haram masih berterusan.
“Pemotongan bukit ini perlu dihentikan dan juga lombong-lombong emas atau apa sekalipun perlu juga diperhatikan,” titah baginda lagi.
Sultan Abdullah turut menyeru agar semua pihak di peringkat daerah lebih peka dan bertanggungjawab dengan melaporkan aktiviti haram kepada pihak berkuasa, bukannya menjadi `boneka’ kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Baginda turut mencadangkan agar satu kaedah baharu dikaji dan diperkenalkan kepada kerajaan bagi menangani isu berkenaan secara lebih berkesan. – UTUSAN