Sultan Nazrin hadiri majlis makan malam amal KBGK bersama M. Nasir - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin hadiri majlis makan malam amal KBGK bersama M. Nasir

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim bersama M. Nasir pada majlis makan malam amal Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Ipoh semalam. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis makan malam amal anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) yang diadakan untuk mengumpul dana bagi membiayai aktiviti kebajikan kelab di sini semalam.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Majlis Makan Malam Amal Nusantara Bersama Datuk Dr. M. Nasir di Pusat Konvensyen Ipoh itu, turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kemuncak makan malam diserikan dengan persembahan nyanyian oleh M. Nasir yang mendendangkan tujuh buah lagu, Mentera Semerah Padi, Ada, Tanya Sama Itu Hud Hud, Hati Emas, Mustika, Bonda dan Satu Hari Di Hari Raya.

Dalam majlis itu juga, KBGK menyampaikan sumbangan dan bantuan bernilai RM15,000 kepada setiap 10 penerima yang terdiri daripada rumah kebajikan, persatuan dan maahad tahfiz.

Sementara itu Presiden KBGK, Muhammad Hamzah Md. Hamdan menjunjung kasih atas keberangkatan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara ke majlis tersebut.

Beliau juga berkata, kelab tersebut berikrar membantu kerajaan negeri memberi penerangan tentang program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada ibu bapa di Perak sebagai peluang untuk diceburi oleh anak-anak mereka.

“Mudah-mudahan dengan sedikit pengalaman ahli-ahli kelab di bidang ini dapat membantu serba sedikit usaha kerajaan negeri Perak,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan.

KBGK ditubuhkan pada tahun 1977 yang dianggotai oleh mereka daripada pegawai kerajaan, ahli perniagaan, wakil politik dan golongan profesional serta pemimpin persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Majlis makan malam itu dihadiri 1,400 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan anggaran kutipan dana sebanyak RM700,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya